January 18, 2020

MELANCONG KE OSAKA : DAY 3 : KANAZAWA – FUSHIMI INARI – BIWAKO VALLEY



Hari ketiga di Jepun. Kami bangun urus diri. Kami bertolak semula ke stesen Kanazawa dan menaiki keretapi Thunderbird ke Osaka. Perjalan mengambil masa 2 jam setengah. Hari ketiga ni sangat malang bagi aku. Ketika tiba di stesen Kyoto kami bergegas keluar dan aku tertinggal kamera DSLR di seat. Aku cuma perasan semasa kami hendak simpan barang di dalam locker.

sarapan aku 


menuju ke stesen kanazawa ke osaka

Aku lari semula ke laluan keretapi yang kami turun dengan berharap sempat masuk dalam dan ambil. Tapi malangnya keretapi dan bergerak.


Aku yakin boleh jumpa semula kamera aku sebab ramai pelancong kata barang yang hilang di jepun selalu dapat semula. Sistem Lost and Found Jepun selalu dipuji. Tapi aku masih rasa sedih sebab aku tak pasti boleh dapat pada hari tersebut juga. Bila fikir aku tak dapat nak ambil foto dengan kamera memang rasa sedih.


Habis simpan beg di dalam luggage kami turun ke bawah cari kaunter yang kami boleh tanya berkaitan barang hilang. Kami diberi satu kertas peta kaunter Lost and Found oleh staf di kaunter. Semasa kami tengah pening kepala nak fahamkan peta tersebut datang seorang lelaki Jepun rasanya cuba bantu kami. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris yang ada pelat Jepun. Aku rasa dia cuba bantu sambil nak tingkatkan kebolehan berbahasa Inggeris juga.


Kami ucapkan terima kasih. Tapi kami ambil keputusan menghubungi pejabat Lost and Found menggunakan telefon Aidil sebab dia beli simkad Jepun. Syam bantu tolong bercakap sambil aku bagi maklumat yang diperlukan. Lama juga yang ditanya oleh staf dalam talian. Kami bagi semua maklumat termasuk alamat tempat penginapan kami, Sakura Guesthouse. Tiba-tiba talian terputus. Rasanya kredit habis.


Aku rasa tak patut cuba uruskan hal kamera hingga selesai dan baru bergerak ke destinasi. Lagipun kami dan terlewat beberapa minit daripada jadual itinerari. Jadi ajak teruskan saja dahulu ke Fushimi Inari dan bertawakal kamera aku boleh dijumpai nanti. Jadi hari ketiga ni kurang foto. Aku pinjam DSLR Canon Aidil dan gunakan telefon pintar untuk ambil foto pada hari tersebut. Terasa kosong pulak otak, sebab aku datang Jepun nak ambil foto cantik banyak-banyak.


Hari tersebut gelap diiringi hujan renyai-renyai. Kami tiba di Fushimi Inari pada pukul 12.17pm. Fushimi Inari ni terkenal dengan tiang-tiang besar berwarna jingga yang panjang tersusun cantik menuju atas bukit. Aku dapati banyak patung batu musang. Teringat aku kepada anime terkenal Naruto.




laluan popular di Fusihimi Inari taisha



Aku ingatkan boleh dapat gambar bersendiri di situ tanpa ada kehadiran pelancong lain tapi sangat susah. Kami tidak cuba teruskan perjalanan sampai ke hujung laluan tiang tersebut sebab masih ada rancangan ke destinasi lain. Waktu telah pukul 1.00pm dan kami bercadang untuk gerak ke Biwako Valley pula.


Perjalanan ke Biwako Valley dari Stesen Inari lebih kurang 2 jam. Kami harap kali dapat la kami main salji. Aku pula harap ada salji turun di sana. Hujan renyai masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti. Semasa dalam keretapi menuju ke Biwako Valley aku keliru dengan tunjuk arah aplikasi Travel Japan. Aplikasi tersebut tunjuk seperti kami perlu turun di satu stesen dan pada masa yang sama tunjuk yang seperti perlu tunggu saja dalam keretapi. Aku tanyakan Syam dan dia pun macam tak pasti. Keretapi kemudian berhenti pada stesen yang ditunjuk dalam aplikasi Travel Japan.


Kami turun saja. Stesen tersebut di tengah-tengah kawasan lapang. Di hujung sikit kelihatan bandar. Aku cuba buka aplikasi tersebut dan ternyata kami tersalah turun. Kami terpaksa tunggu keretapi seterusnya tiba dalam 15 minit. Keadaan di stesen tersebut sangat sunyi. Tiada orang lain melainkan kami bertiga. Hujan masih renyai-renyai dan suhu sangat rendah. Terasa sejuk sangat. Baru petang, kalau malam mesti lagi sejuk. Terasa lega bila keretapi dah tiba. Tanpa membuang masa, kami terus naik keretapi dan teruskan perjalan ke Biwako Valley.
Kami tiba di Shiga lebih kurang pukul 3.10pm. Stesen sini pun sunyi saja. Aku was-was, takut tersalah turun lagi. Kali ni kalau tersalah turun memang terpaksa lupakan terus niat nak main salji. Stesen tersebut lengang, tiada orang langsung. Kaunter penjaga yang selalunya kami perlu tunjuk pas Kansai kelihatan tutup. Cuma laluan kad Icoca beroperasi. Namun tiada penghalag besi untuk laluan kaunter pelancong luar jadi kami lalu saja di situ tanpa guna kad Icoca. Kami memang menaiki keretapi yang percuma kalau ada kas pass Kansai jadi kenapa nak gunakan pula kad Icoca.


Keluar saja dari stesen tersebut kami ternampak stesen bas di sebelah kanan pintu. Kami perhatikan papan tanda dan berasa lega bila tahu kami turun di stesen yang betul kali ni. Kami juga bernasib baik kerana masih ada lagi satu bas terakhir yang akan tiba dalam 30 minit. Tapi 30 minit tersebut agak menyeksakan juga sebab cuaca sangat sejuk. Aku pergi ke tandas dengan Aidil sementara Syam menunggu di luar. Baru saja aku buka pintu nak masuk tandas ternampak pulak najis atas lantai. Siapa kata tandas di Jepun semua bersih?


Kebetulan masa kami melawat ke Jepun ada pula berita tentang flu yang merebak yang buatkan aku bertambah paranoid nak masuk dalam tandas. Aku tunggu Aidil keluar dari tandas sebelah dan masuk kemudian. Malang lagi tandas ni tiada sabun. Aku cuba buka pili air di singki dengan bahagian belakang jari aku. Teruk sangat dah paranoid aku ni haha. Lagipun sebenarnya masa ni aku dah terasa sikit sakit tekak. Aku tak pasti sebab cuaca sejuk atau aku memang dah terjangkit kena flu.


Selesai urusan di tandas aku keluar dan tunggu bas dalam kesejukan semula. Bas tiba pada pukul 3.30pm. Kami masuk di dalam cepat-cepat, tak tahan sejuk. Sebelum bertolak, pemandu bas tersebut terangkan waktu bas terakhir yang akan bertolak dari Biwako Valley ke stesen tersebut kembali. Perjalanan ke Biwako Valley mengambil masa lebih kurang 15 minit. Aku sedikit kecewa sebab salji tidak turun pada hari tersebut. Bukan rezeki la nampaknya. Tapi tak apalah, asalkan di atas sana nanti pasti ada salji juga.


Kami turun bas pada pukul 3.48pm dan terus ke kaunter. Tiket pergi balik berharga 2500yen. Ketika tiba sini barulah nampak ramai pelancong lain. Perjalanan dari bawah ke atas bukit mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan menggunakan kereta kabel. Keadaan agak berkabus jadi tak berapa jelas pemandangan ke atas bukit. Turun saja dari kereta kabel terdapat kaunter untuk menyewa alat bermain salji sperti ski, baju sejuk dan lain-lain.

bas ke atas bukit


di atas kereta kabel

putih salji!



Kami tak bercadang nak bermain ski sebab ingin jimat bajet dan masa. Kami bertiga berjalan menuju ke kawasan bersalji. Turun-turun tangga terpampang pemandangan tanah yang putih dipenuhi salji. Udara nyaman dan dingin. Akhirnya dapat juga bermain salji. Selama ni hanya lihat di kaca televisyen atau media social. Kelihatan seperti semua pelancong datang bermain ski kecuali kami.


Bila dah dapat sentuh salji ni haruslah cuba bentukkan sebesar saiz bola ping pong dan baling kepada kawan. Perang salji lah, apa lagi. Kami berjalan lebih atas dan pemandangan lebih putih. Langit dan tanah seperti bercantum. Cantik. Syam membuat rakaman video live melalui aplikasi Instagram. Aidil sibuk selfie. Aku pula merakam video pemandangan keliling.


Aku cuba perhatikan juga kalau ada orang Malaysia yang kebetulan datang sini pada masa tu. Tapi macam tiada saja. Kami bertiga saja yang sibuk main salji sambil merakam video. Pelancong lain semuanya giat bermain ski. Kami bercadang berada sini sehingga 15 minit sebelum kawasan ini ditutup.


Puas bermain salji, kami menuju ke kembali ke kereta kabel untuk pulang. Kereta kabel waktu pulang sangat sesak berbanding ketika ingin naik ke atas. Kami perlu kembali ke Stesen Kyoto dan mencari pejabat Lost n Found untuk bertanya tentang kamera aku. Ketika tiba di Stesen Kyoto waktu sudah gelap. Aku buka aplikasi GoogleMap dan mengambil masa 15 minit untuk ke pejabat Lost n Found. Kedudukannya agak tersorok di lorong belakang bangunan.


Aku masuk ke dalam dan tunjukkan maklumat kamera aku. Aku dah tulis siap dalam telefon maklumat seperti nama keretapi, waktu, dan jenama kamera. Staf tersebut seperti tidak bertutur langsung bahasa Inggeris namun dia seolah-olah faham dengan maklumat yang aku tunjuk. Aku terdengar dia sebut “kamera” tapi jenama Canon. Padahal kamera aku jenama Nikon. Banyak kali juga aku dengar dia sebut Canon. Aku fikir tak akan la kebetulan pula ada orang lain hilang kamera juga masa tersebut. Aku sangat berharap mereka salah tengok jenama kamera.


Aku risau juga mereka tidak tersalah lihat sebab kamera DSLR sentiasa ada logo dan nama yang jelas terpampang di atas badannya. Jauh beza sangat perkataan Canon dan Nikon. Habis berbual di telefon, staf tersebut menulis sesuatu di atas kertas nota dan bagi kepada aku. Staf tersebut terangkan kamera aku berada di Lost n Found Stesen Osaka. Aku lega bercampur dan risau kalau kamera yang mereka jumpa betul-betul jenama Canon. Takut mereka tersalah bagi kamera orang kepada aku.


Kami teruskan perjalanan ke Sakura Guesthouse. Perjalanan agak jauh, mengambil masa hampir 40 minit kalau berjalan kaki. Penat betul berjalan selama 40 minit sambil menarik beg roda besar. Sakura Guesthouse terletak di tengah-tengah kawasan perumahan. Tiba saja di Sakura Guesthouse, kami terus buat bayaran secara tunai. Pemilik guesthouse juga memberi nota kertas kuning berkaitan kamera aku. Wah, sangat efisyen cara Lost n Found Jepun ni. Kagum kejap. Kami terus naik atas ke bilik.


Kami akan berada di Guesthouse ini sehingga hari terakhir di Jepun. Bilik kami lengkap dengan semua alat, kecuali tiada alat pemanas. Jadi semasa nak tidur aku terpaksa pakai tiga lapis baju untuk tahan sejuk, tambah selimut. Aku pakai juga stoking winter yang dibeli di DIY. Aku tidur dan harap esoknya dapat kembali kamera.


BERSAMBUNG……








Terima kasih kerana sudi baca, assalam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen~~~