January 18, 2020

MELANCONG KE OSAKA : DAY 4 : BAMBOO GROOVE – NARA PARK – SHINSAIBASHI STREET



Tekak aku dah mula rasa pedih pada hari ke-4. Jadi aku sarapan maggi saja. Tak lalu nak makan nasi. Selesai urus diri kami menuju ke Stesen Osaka dahulu untuk mengambil kamera. Tiba saja di Stesen Osaka aku tengok GoogleMap menunjukkan kena naik lagi satu keretapi untuk menuju ke Lost n Found. Aku pelik juga, dah sampai Stesen Osaka tapi kena pulak ke pejabat Lost n Found yang perjalanan ambil masa 20 minit? Eh? Tengah cari pintu laluan nak naik keretapi, Syam ternampak pejabat Lost n Found dalam stesen tu. Kedudukan pejabatnya sangat tersembunyi. Aku rasa ni kot pejabat yang sepatut aku pergi, dan pejabat dalam GoogleMap tu mungkin salah.


Aku pergi dan masuk seorang saja. Aku bagi kertas nota tentang kamera aku. Aku isi dulu borang. Staf pejabat tu macam garang saja. Dah la dia ingat aku orang Indonesia. Tengah isi borang tu dia bawa keluar kamera jenama Nikon dan letakkan atas meja. Sah! Tu memang kamera aku. Perhh, rasa lega sungguh. Selesai isi semua, aku keluar dan periksa sama ada foto-foto masih ada. Lega semua gambar masih ada dan kamera dalam keadaan elok.


Jadi kami terus perjalanan ke Bamboo Groove. Dari stesen Osaka kami naik keretapi dan tiba di stesen Saga Arashiyama pada pukul 11.00am. Dari stesen kami kena berjalan selama 11 minit sebelum tiba di hutan buluh terkenal tersebut. Seperti di Fushimi Inari Taisha, aku ingatkan dapat ambil foto kawasan tersebut yang lengang, tapi penuh dengan pelancong pada hari tu. Nasib tak baik la macam ni.



bamboo groove yang popular




Aku menyusuri laluan buluh tersebut sambil ambil gambar serta video. Dah puas ambil foto kami jalan-jalan dalam kawasan tersebut. Kami lalu mengikut taman pokok Cherry Blossom. Kami melancong pada akhir musim sejuk, jadi pokok bunga ceri dah mula kembang pada setengah kawasan. Penuh kiri kanan dengan bunga ceri yang berwarna merah jambu dan putih. Cantik. Kawasan situ sangat luas, tak mungkin kami dapat lawat semua.


Jadi kami ambil keputusan pula terus ke kawasan sungai. Sebelah sungai tu ada bukit tinggi berkabus. Kelihatan ada restoran sampan di sungai tu. Kawasan situ sangat sunyi dan aman. Udara sangat segar. Aku ambil peluang menangkap gambar pemandangan di sekitar bukit tu. Lagipun lepas gian setelah satu hari tak sentuh DSLR, haha.


Kami sempat beli air Calpis dari mesin air sebelah sungai tersebut. Aku baru perasan reka bentuk botol Calpis aku sedikit berbeza dari Syam. Selalu aku perasan air Calpis yang dikatakan Halal sama seperti Syam punya. Bila aku tengok tulisan bahan ramuan dari botol dengan Syam sama saja. Aku naik muat foto botol Calpis aku dalam Facebook Road to Japan untuk dapatkan kepastian. Dalam masa 3 minit saja sudah ada maklum balas. Semua komen mengatakan tiada beza ramuan, rekaan botol saja berlainan. Lega rasa dan aku minum tanpa was-was.



cherry blossom yang cantik





Sambil minum, kami menikmati pemandangan indah sungai tersebut dari atas jambatan. Tak pasti nama jambatan tersebut apa. Cuaca dah mula mendung dan hujan mula rintik-rintik. Kami bercadang untuk pergi ke destinasi seterusnya. Kebetulan semasa perjalanan nak ke stesen terjumpa pula kedai makanan halal. Ramai juga yang beratur. Kami tak lepaskan peluang mencuba makan di situ. Aku beli shurimp and green onion yang berharga 300yen.


Calpis dari Jepun



Kami makan sambil berjalan ke stesen. Sedap makan semasa masih panas dalam cuaca mendung sejuk macam ni. Syam ajak untuk bergambar di restoran berung Rillakuma. Aku macam pernah tengok beruang ni, tapi tak pasti di mana. Aku sebenarnya tak berapa tahu tentang beruang ni, tapi dah Syam ajak, aku pun ikut sajalah.






menu halal

sedap!


stesen ke Nara



Kami tiba di stesen lebih kurang pukul 1.12pm dan teruskan ke Nara park. Dari stesen Saga Arashiyama kami ke Kyoto Stesen dahulu. Kemudian turun dan naik pula keretapi ke Stesen Kintetsu Nara. Aku tiba di stesen Nara dalam pukul 2.55pm. Cuaca masih tak tunjuk tanda-tanda untuk cerah. Kami menunggu bas Nara City Loop Line. Kami gunakan kad Icoca untuk bayar tambang ke Nara Park. Tambang ke Nara Park berjumlah 210yen untuk dewasa. Bas tiba dalam pukul 3.02pm.


Setelah 10 minit di dalam bas aku dah nampak rusa dan pokok cherry blossom. Tapi aku tak pasti nak turun di mana. Syam dan Aidil pun tak pasti nak turun dekat mana walaupun dah rujuk GoogleMap. Jadi kami ambil keputusan turun saja di satu perhentian situ sebab bas seolah-olah ingin kembali pusing ke arah stesen Nara. Kami menuju ke satu kawasan luas yang ada banyak cherry blossom dan rusa. Tapi aku rasa macam sesuatu tak kena dengan tempat ni. Nampak macam sendu je?


Sikit sangat pelancong dekat sini. Tapi kami teruskan saja berjalan dalam situ sambil mengambil foto dengan rusa. Makin lama makin jauh kami ke dalam kawasan tu, bertambah sendu suasana hahaha. Aku dengan Aidil terserempak dengan sekor rusa ni yang ada macam loceng besar dekat leher. Rusa lain tak ada loceng macam tu. Comel, tapi takut rusa tu liar sebab ada loceng khas pula. Tak puas hati sebab suasana rasa muram sangat aku cuba buka GoogleMap lagi sekali.

bas ke Nara park





GoogleMap tunjuk Nara Park 7 minit kalau berjalan kaki dari kawasan kami. Jadi kami dah tersalah turun ke maksudnya? Aku ajak Syam dan Aidil untuk ke sana. Sempat Syam beli satu botol air Calpis semasa dalam perjalanan. Makin dekat kami dengan lokasi yang ditunjuk dalam GoogleMap makin ramai pelancong. Jadi memang betul la kami tersalah turun tadi. Di sini baru betul ramai pelancong dan rusa. Tak lupa juga banyak tahi rusa, erkkk. Aku hati-hati bila berjalan sebab jalan basah sebab baru lepas hujan. Takut tergelincir jatuh atas tahi rusa ewwwww.


Dekat sini juga baru terjumpa dengan penjual biskut untuk diberi makan rusa. Aku tak ingat harga sebungkus biskut tersebut sebab aku tak beli pun. Nak jimat bajet. Rusa sini bijak. Rusa akan tunjuk 2 kali bila nak mintak makan. Kita yang nak bagi makan pun kena tunjuk sekali. Bila rusa tu dah tunduk kena la bagi makan biskut.




amaran


Kami terus melawati Nara Park dengan lebih ke dalam. Sampai saja di hujung nampak pintu gerbang besar. Tak boleh masuk rasanya jadi kami patah balik dan cuba cari kedai makan halal. Aku cuba gunakan apps Halal Navi. Terjumpa satu kedai makan PY Halal Kitchen. Kena berjalan hampir 20 minit ke sana. Nak makan pun kena berjalan jauh, aduhai. Jepun memang ada saja kedai makan halal, tapi seksa juga nak kena jalan kaki jauh-jauh nak ke sana.





Kami menyusuri lorong-lorong belakang kedai. Tak pasti jalan mana la GoogleMap tunjuk dekat kami ni. Hampir 20 minit berjalan baru aku ternampak lorong kedai yang nampak cantik. Masuk saja lorong yang nampak meriah tu kami terjumpa dah kedai PY Halal Kitchen. Tapi Syam dan Aidil masih nak cuba cari kedai makan lain. Aduh, aku dah penat dan lapar ni. Tapi aku ikut saja mereka berdua. Puas berjalan dalam kawasan tersebut Syam dan Aidil baru betul-betul buat keputusan nak makan di PY Halal.


Waktu pada tersebut sudah pukul 4.25pm. PY Halal Kitchen menyediakan masakan berasaskan gulai, nasi, daging dan banyak lagi yang sesuai dengan tekak orang Melayu kita ni. Masuk saja dalam kedai nampaknya seperti kami saja pelanggan pada waktu tersebut. Salah satu pekerja mempelawa kami untuk duduk dan dia juga tolong letakkan beg kamera aku di meja sebelah. Katanya waktu petang sebegitu tiada pelanggan selalunya. Jadi dia tak kisah kami letak barang-barang kami di meja sebelah. Kami disediakan air sejuk secara percuma.




nasi kari




Aku memesan nasi kari dan tambah sheek kebab. Makanan nampak macam sikit tapi kenyang bila makan. Mungkin sebab nasi saiz agak besar dan sedikit melekit. Nasi Jepun memang ada sikit lekit-lekit tapi sedap saja rasanya. Kuah karinya pekat dan sangat sedap. Rasa seperti gabungan kurma dan kari. Aku bagi 4 bintang untuk restoran ni. Kurang satu bintang sebab aku tak berapa selesa dengan sebahagian petugas yang asyik memerhati kami makan dari awal sampai habis. Walaupun dia duduk jauh di dapur tapi sebab aku menghadap mereka jadi aku perasan mereka asyik perhati kami makan. Mungkin tu satu budaya atau mereka seronok tengok kami makan di situ, tapi aku tetap kurang selesa.


Perut yang lapar sudah terasa sangat ketat kekenyangan. Nak bernafas pun rasa sesak. Kami tak buang masa dan terus bayar di kaunter. Selepas bayar aku perasan harga makanan kami semuanya lebih murah berbanding apa yang ditunjukkan dalam menu makanan. Tak pasti sama ada diskaun atau mereka tidak kemaskini harga dalam menu. Anggap sajalah rezeki kami hari tu.


Kami teruskan ke Dotonbori atau juga dikenali sebagai Shinsaibashi Street. Tapi sebelum tu kami memborong coklat yang terkenal dalam kalangan orang Malaysia. Coklat kapal ni ada saja dijual dalam Malaysia, tapi mahal berkali ganda berbanding beli terus di Jepun. Paling murah boleh dapat satu kotak berharga 55yen. Tapi di sini aku cuma jumpa yang harganya 68yen sekotak. Aku beli satu pek yang ada 10 kotak di dalam. Aku ingatkan nak beli 15 kotak, tapi simpan sikit duit sebab mana tahu kalau boleh jumpa yang lebih murah di tempat lain.


coklat kapal yang orang Malaysia suka beli


Selesai beli coklat kami kemabli ke stesen dan bertolak ke Dotonbori. Dotonbori sebenarnya bukan hanya ada di Osaka. Tapi Dotonbori Osaka merupakan yang paling terkenal. Kami menunggu keretapi di stesen Kintetsu Nara pada pukul 6.11pm dan ke stesen Osaka Namba. Kami turun keretapi pada pukul 7.15pm dan perlu berjalan kaki beberapa minit sebelum betul-betul tiba di Dotonbori.


Sasaran kami ke sini untuk membeli belah dan bergambar depan papan iklan Glico yang terkenal. Kawasan sini sangat sesak dan rasanya beribu-ribu orang yang datang melawat. Aku rasa kagum dan teruja sekejap sebab kiri kanan penuh dengan bangunan tinggi dan penuh iklan. Sangat sama seperti dalam anime yang aku gemar tonton. Kami tak pasti nak ke mana. Jadi kami gerakkan kaki saja ke satu jambatan kecil berdekatan. Semakin dekat dengan jambatan tersebut aku ternampak pantulan imej iklan serang lelaki berlari sambil angkat tangannya. Hah! Tu iklan Glico yang kami cari.


Jadi kami terus berjalan hingga ke jambatan. Rupanya papan iklan tersebut bersebelahan dengan sungai Dotonbori. Kami apa lagi, sakan mengambil foto disebalik iklan Glico tersebut. Tapi semua foto kami nampak gelap dan tak nampak keseluruhan imej Glico. Kami ambil keputusan untuk ke sebelah sungai yang bertentangan. Semasa aku nak turun ke tangga jambatan tersebut aku berhadapan dengan ramai remaja Jepun yang aku rasa lebih muda atau mungkin sebaya. Mereka ni aku tengok berborak dengan kuat sambil tidak segan menghisap rokok sedangkan di situ kawasan larangan merokok.


Aku tengok tiada orang Jepun lain yang menegur remaja-remaja tersebut. Mungkin tak mahu mencetuskan masalah. Semasa aku semakin dekat dengan mereka aku pandang ke arah lain. Takut nanti mereka tak puas hati kalau aku perhatikan mereka pula. Aku lega tiada apa terjadi dan kami bergambar di bawah. Aku nampak ramai pelancong yang dari Malaysia atau Indonesia bergambar di sini. Boleh tahan lama juga kami bergambar, hampir 20 minit.




Selesai bergambar kami berjalan-jalan sekitar Dotonbori. Kami melawat satu kedai untuk periksa harga coklat kapal. Nampaknya sini lebih mahal daripada di Nara. Jadi aku tak jadi beli. Kemudian Syam dan Aidil mengajak ke Bic Camera. Mereka berdua ingin membeli jam. Aku pernah dengar Bic Camera ni, tapi tahu apa ada di sana. Tiba saja di situ aku jadi rambang mata. Kedai ni penuh dengan alat eletronik. Aku melihat DSLR sementara Syam dan Aidil memeriksa jam di tingkat lain. Aku tak bercadang nak beli apa-apa di sini. Aku rasa kamera aku masih elok saja, tak perlu nak beli yang baru. Aku jenis guna barang sampai rosak baru beli baru. Aku rasa terlampau lama sangat Syam dan Aidil periksa jam jadi aku cuba cari mereka. Mereka nampak seperi masih tak sudah memerhati jam. Lama sangat di situ, staf di situ menegur kedai dah nak tutup pukul 9.00pm. Syam cuma ambil foto jam dan ajak pulang. Mereka bercadang ingin kembali ke sini esok hari. Eh, tiada dalam perancangan nak datang buat kali kedua pun sepatutnya. Tapi sebab aku rasa aktiviti untuk esok hari tak banyak jadi rasanya sempat kot untuk ke sini.


curi curi snap dalam Bic Camera


Kami pening kepala nak ikut jalan mana hendak pulang. Dotonbori ni terlalu besar dan iklan kiri kanan penuh jadi sukar nak ingat jalan yang kami datang tadi. Penat berjalan punya pasal Syam cuba ajak singgah di satu kedai jual Takoyaki. Menurut ramai orang dalam Group Facebook Road to Japan kedai tersebut ada menjual Takoyaki halal. Mereka kata boleh beritahu yang kita ni Islam dan tak boleh makan khinzir dan arak. Tapi aku was-was mereka tak faham. Kalau mereka faham pun tak pasti sama ada mereka guna bekas yang berbeza. Lama juga kami duduk di kerusi berhadapan kedai tersebut untuk buat keputusan nak beli ke tak. Dah sebab was-was kami batalkan saja niat nak beli.


Kami terus berjalan kaki pulang. Kami tiba di stesen lebih kurang pukul 10.00pm. Aku cuba buka GoogleMap dan terkejut bila tiada keretapi yang boleh kami naiki tanpa guna Kansai Pass. Cuma ada pulang ke rumah naiki subway dan kena guna Icoca. Tambah teruk kami kena naik turun banyak kali. Ni semua gara-gara Syam dan Aidil jalan lama-lama nak beli belah la ni. Kami tanya petugas di mana laluan nak ke subway. Tapi info diberikan tak berapa jelas. Jadi kami ikut saja papan tanda dalan stesen tersebut. Alhamdullillah kami jumpa subway yang patut kami naik. Bermulalah aktiviti naik turun keretapi sehingga tiba di Sakura Guesthouse.


Aku ni ada asid reflux, jadi mudah rasa letih. Rasa macam nak pengsan dah masa turun stesen Nishioji. Tambah lagi udara sangat dingin. Hidung aku rasa pedih walaupun dan guna topeng mulut. Tekak aku pun masih sakit buatkan aku rasa lebih penat. Tapi aku gagahkan juga berjalan hampir 15 minit dari stesen terakhir kami itu ke tempat penginapan. Setiap hari kami kena berjalan 15 minit ke stesen tersebut.


Sampai saja di tempat penginapan kami uruskan diri. Selesai urus diri aku sarung tiga lapis baju dan terus tidur.


BERSAMBUNG........











Terima kasih kerana sudi baca, assalam

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen~~~