December 10, 2017

Melancong ke Perth: Day 1. Part 2.

Post sebelum:

DAY 1 ( 12 NOVEMBER 2017 ) Part 2.



FREMANTLE – MEGABES – COMFORT INN & SUITES GOODEARTH – COLES MART



HAMPIR KEMALANGAN!”




Sepanjang perjalanan, aku ni jadi orang penunjuk arah. Syam back-up aku saja kalau silap jalan saja. Sazlee pemandu utama, dan Uzair sebagai pemandu ganti. Destinasi kami yang pertama adalah Comfort Inn & Goodearth Suites iaitu tempat penginapan kami. Perjalanan dari pejabat Aries car Rental yang terletak di Kewdale ke apartment kami ambil masa lebih kurang 15 minit saja. Apartment kami terletak di Adelaide, tengah-tengah bandar Perth. Di Perth, majoriti penduduk menaiki kereta dan basikal. Sangat susah nak nampak penduduk yang tunggang motosikal. Kalau ada pun, naik motorsikal kuasa tinggi. Sampai dekat Perth ni kawan aku memang jadi pemandu yang berhemah. Ikut sentiasa dengan had laju. Had laju di bandar Perth paling laju pun tak silap 60kmph saja. Kalau bawak laju lebih sikit saja pun boleh kena saman tak pasal-pasal.





Mencari arah


Parking di Perth agak memeningkan kepala. Kena peka dengan papan tanda untuk parking kereta. Ada yang percuma, ada yang kena bayaran. Bayaran pun berbeza ikut kawasan. Aku guna GoogleMaps untuk tunjuk arah sebab pernah baca dalam blog, ada yang kata ianya lebih tepat berbanding Waze. Tiba saja di Adelaide, kami dah nampak bangunan apartment kami tapi arah bertentangan jalan pula. Nak cari laluan untuk masuk arah bertentangan mencabar juga sebab tak tahu undang-undang jalan raya di Perth. Kamera litar tutup merata-rata dekat sini. Risau kalau kami langgar undang-undang memandu nanti kena saman. Rugi habis nanti bond. Kalau dekat Malaysia main ikut suka saja buat u-turn kan hahaha. Hampir dekat 30 minit jugalah kami pusing-pusing cari jalan untuk masuk arah laluan betul-betul untuk ke apartment.



sazlee memandu

 

Kami kemudian sampai di simpang empat. Lampu isyarat tengah warna merah. Undang-undang simpang empat di Perth memang tak sama dengan di Malaysia. Masa kami di simpang ni Syam dan Sazlee yang berada di belakang tolong aku cari arah jalan. GoogleMaps tunjuk arah untuk masuk ke jalan kanan. Lampu dah tukar warna hijau, Sazlee pun masuk arah kanan. Tiba-tiba kereta dari arah depan juga bergerak dan hampir langgar kami. Tapi pemandu kereta tu sempat berhenti dan aku sempat nampak dia tunjuk isyarat tangan mempersoal kenapa kami masuk sebelah kanan. Sazlee terus pandu saja dan mula risau sebab sebenarnya ada kereta polis yang berhenti di simpang empat tadi tu. Mula terfikir habislah kalau dapat surat saman. Lagi risau kalau polis kejar kami huhuhu. Kami pun pelik la, GoogleMaps tunjuk masuk arah kanan, kemudian kami masuk semasa lampu dah hijau tapi kenapa kereta dari arah depan gerak juga??? Kalau di Malaysia, bila lampu hijau, kita saja yang boleh bergerak dan kereta dari arah simpang-simpang lain berhenti kan? Kalau di Perth, lampu isyarat arah kita hijau dan juga di hadapan kita akan hijau. Kita gerak, mereka pun gerak maknanya. Kita boleh masuk ke arah kanan, tapi kita kena bagi laluan dahulu kepada pemandu dari arah depan kita. Pelik kan?



Lepas buat kesilapan lalulintas tadi Sazlee dah macam tak boleh fokus sangat memandu sebab risau kena saman sampai terpandu naik sedikit atas kawasan laluan pejalan kaki semasa nak belok ke kiri. Nasib baik kereta tak tercalar atau tergolek macam dalam filem. Setelah bergelut memandu, akhirnya dapat juga sampai juga di apartment Comfort Inn & Suites Goodearth Perth. Aku turun dari kereta dengan Syam untuk ke kaunter apartment untuk tanya jika dah boleh check-in walaupun masih belum pukul 2pm. Mana tau kalau boleh check-in awal lagi bagus, boleh tinggal semua beg siap-siap. Tapi staff perempuan tu cakap paling awal boleh siap bilik pada pukul 12.30pm.



Jadi kami terus sahaja dahulu menuju ke Fremantle. Perjalanan dari Adelaide ke Fremantle lebih kurang dalam 20 minit. Fremantle ni kawasan tempat yang tampak klasik macam di kawasan sekitar A Famosa, Melaka. Penghawa dingin kereta kami bukak nombor 3 sebab masa ni Perth dah mula masuk musim panas. Perth tak macam negara lain yang baru nak mula musim sejuk, sebaliknya di sini baru nak masuk musim panas. Perth juga tak ada salji pada musim sejuk.



GoogleMaps menunjukkan yang kami dah tiba di Fremantle. Kami parking kereta dengan bayaran $3 dari waktu 9.35am hingga 11.14am. Lebih kurang 40 minit saja. Cuaca terik tapi udara memang sejuk dingin. Best! Dari parking ni boleh nampak ferris wheel Fremantle. Kemudian kami terus menuju ke arah jeti berdekatan dan ambil foto. Air sangat jernih dan boleh lihat banyak bot. Angin boleh tahan kuat dekat jeti ni. Kaili’s dan Cicerrelo’s yang terkenal dengan fish & chips hanya seberang saja dengan jeti. Syam selidik komen-komen dalam group Facebook berkaitan dua kedai makanan tersebut. Ramai yang kata Kaili’s lebih dijamin tahap halalnya. Jadi kami pun setuju untuk makan di Kaili’s.



Resit parking. Ink dia kualiti tinggi.




Fremantle Ferris Wheel


Tengah layan kejap udara segar










banyak bot berlayar di sini
Boleh nampak Kaili's dari jeti

Menuju ke Kaili's . Cantik sini.

Kailis’s dan Cicerrelo’s ni hanya bersebelahan saja. Kami kongsi saja makan sebab dengar kata satu hidangan saja pun banyak dan boleh dikongsi dua orang. Aku dan Sazlee kongsi makan Traditional Fish & Chips yang berharga $17.50. Ujet dan Syam kongsi beli Fish & Squid yang pula berharga $16.50. Kemudian aku tanya sama ada menu tu ada kandungan alcohol. Saja aku tanya walaupun dah tau tak ada, ada la juga pengalaman speaking dengan mat saleh secara depan-depan, hahaha. Lepas bayar di kaunter, staff bagi kami satu alat ni yang macam buzzer. Bila makanan sudah siap, alat tu akan bergegar dan kita boleh ambil makanan di kaunter. Syam katanya dahaga masa nak tunggu order tu. Jadi dia minta tolong beli air mineral. Dia suruh beli dua. Tak ada tanda harga, jadi aku ambil satu saja sebab orang kata air mineral sebotol saja pun dah mahal. Bila aku nak bayar, staff tu kata air tu berharga $3.50. Mahal gila!



Menu di Kaili's

Buzzer akan bergegar bila makanan dah siap

Buzzer bergegar. Kami pun ambil set makanan masing-masing. Makan Fish & Chips ni cepat kenyang sebab kentang dia besar gedabak. Rasa ikan sangat segar tapi agak tawar. Tekstur isi ikan sangat lembut. Aku sebenarnya dah bawak siap-siap sos cili lebihan KFC dari Malaysia sebab Kaili’s cuma bagi sos tartar. Tapi aku tertinggal pulak dalam beg besar. Jadi aku cuba la mintak dekat kaunter dan staff Kaili’s bagi 4 paket sos cili secara percuma. Teragak-agak juga aku dia bagi percuma sebab sebelum ni baca dalam blog ramai orang kata kalau minta sos cili akan dicas bayaran. Sos cili dia kecil saja, memang tak cukup. Tapi dah dapat percuma tu terima sajalah kan?

nampak macam sikit, tapi sebenarnya banyak!






Air mineral $3.50



sepasang keluarga dari Malaysia makan di luar




Aku teringin nak makan dekat luar tapi kawan-kawan nak duduk kat dalam. Terpaksa la ikut keputusan majoriti. Ada satu keluarga dari Malaysia tengah makan di luar. Sampai dekat Perth ni memang akan kerap jumpa dengan orang Malaysia. Makan di Kaili’s atau Cicerrello’s merupakan satu aktiviti dan makanan yang wajib korang rasa kalau datang ke Perth. Habis makan aku tertanya-tanya nak kena tinggal saja sisa makanan atas meja atau kemaskan sendiri? Aku nampak ada sorang staff kemas meja dan sisa makan pelanggan lain. Jadi kami pun tinggal sajalah sisa makanan atas meja, huhuhu.



Perut dah kenyang. Jadi kami singgah di seberang Kaili’s. Rasanya tempat ni namanya Bather Bay. Angin tiup agak kencang dan sejuk. Langit biru cerah tak ada awan langsung. Kami sempat ambil ambil beberapa gambar di sini sebelum terus menuju balik ke apartment untuk check-in.




Di belakang bangunan Kaili's



cantik!


Semasa dalam perjalanan ke apartment, tengah sibuk aku tengok GoogleMaps baru teringat yang kami bercadang nak beli cenderamata di Megabes. Megabes tu di Fremantle dan dibuka dari Jumaat hingga Ahad saja. Hari ni ahad dah, kalau tak pergi, nanti tak ada peluang dah nak beli cenderamata murah-murah! Jadi kami ambil keputusan untuk patah balik yang mengambil masa 15 minit. Kami parking kereta yang jaraknya berapa meter dari kedai Megabes. Megabes ni ada 3 outlet, kilang di Malaga, di E-Shed Market dan satu lagi yang baru saja dibuka di Fremantle. Kami pergi yang baru buka ni. Kalau korang nak beli belah cenderamata dengan harga paling murah, Megabes la patut jadi pilihan utama.


sekitar Fremantle


pelbagai cenderahati dengan harga murah!

rekaan dalaman Megabes yang menarik



Baju-baju dengan pelbagai design


Habis semua keychain aku beli








Bila masuk kedai ni korang akan rasa macam dekat Malaysia sebab penuh dengan orang negara kita saja! Pemilik kedai ni warganegara Singapore kalau tak silap dan boleh berbahasa Melayu. Staff dia juga ada yang dari Malaysia. Aku tengok harga macam murah sangat ni atau aku yang silap baca. Ada tanda harga tulis “Buy 3 for $10”. Satu paket tu ada 6 keychain, maksudnya kalau beli satu paket harga $20 ke? Aku tanya la staff situ, dia kata 3 paket $10. Fuh, murah! Aku ambil habis semua paket keychain sampai licin. Aku nak bagi dekat kawan-kawan pejabat. Aku beli sekali fridge magnet, beg, dan baju. Jumlah belanja aku sebenarnya lebih kurang $50 sahaja. Tapi Syam suruh belanja lebih sikit sebab dia nak sangat dapat tuntut balik GST nanti. Buat pengetahuan, korang boleh tuntut GST jika perbelanjaan korang melebihi $300, tapi dengan syarat resit tu mesti atas kedai yang sama. Ada dua tiga resit pun boleh gabung untuk bagi cukup $300 asalkan dari kedai yang sama.



Jadi aku dah buntu nak beli apa lagi ni. Lagipun aku nak jimat sikit belanja. Akhirnya aku sambar saja lagi beberapa beg, fridge magnet dan satu bantal leher. Jumlah perbelanjaan aku cecah $94. Masa aku bayar tu pemilik kedai akan tawarkan beli beg untuk letak cenderamata. Aku beli yang paling besar. Lepas bayar aku keluar sekejap melihat persembahan oleh orang Australia sendiri rasanya sementara nak tunggu si Ujet habis membeli-belah. Sebelah Megabes ni ada satu ruang laluan luas dan ada orang buat persembahan. Ramai orang berhenti dan menonton. Nak bayar untuk persembahan tu bayar saja, tak mahu pun tak apa. Aku tak bayar pun, nak jimat duit punya pasal hihihi. Aku tak tahu dia nak buat pertunjukkan apa sangat sebab dia cakap banyak. Tak sempat tonton habis Ujet dah keluar dari kedai. Terpaksa la aku tinggalkan persembahan tu.




yang dua orang belakang tu penonton

dia nak main api rasanya






Kemudian kami terus ke apartment. Kami check-in pukul 1.30pm kalau tak silap. Bayaran penginapan di buat secara tunai. Comfort Inn & Suite Goodearth Perth ada sediakan parking untuk pelanggan mereka. Staff di kaunter ajar kami macam mana nak buka pintu pagar untuk ke parking. Staff akan bagi kami satu kod nombor. Kami kena masukkan nombor kod di satu mesin di hadapan kawasan parking tu dan kemudian pintu pagar akan dibuka. Ada parking ni selamat dan jimat la sikit duit kami.

Kami kena juga pamerkan permit masuk di atas board kereta sebagai bukti kami menginap di apartment. Kalau tak ada permit tersebut dan kereta ada di dalam, boleh kena saman.

Permit untuk parking


Bilik kami nombor 305, terletak di tingkat 3. Bilik sederhana luas tapi menyelesakan. Bilik kami sebenarnya boleh muat maksimum 5 orang. Ada satu katil saiz queen dan 3 katil single bed. Aku dan Syam tidur di katil single bed. Ujet dan Sazlee tidur sekali di katil saiz queen. Alatan memasak disediakan dan kami dah samak dahulu sebelum guna dengan sabun taharah. Sabun taharah ni aku beli dekat kedai kosmetik di Komtar, Penang. Boleh guna untuk badan dan samak. Wangi baunya. Lepas letak saja beg kami semua baring terus atas katil. Penat.



Kami ambil masa rehat sebentar dan uruskan diri, seterusnya bercadang untuk pergi membeli sedikit barang di Coles Mart. Coles Mart ni lebih kurang macam Tesco, harga barang-barang boleh tahan murah.



Kami tiba lewat sikit di Coles Mart gara-gara semua jadi malas bergerak bila dah masuk dalam bilik. Nak bersiap keluar jadi lembab habis. Coles Mart tutup awal pada pukul 5pm pada hari Ahad. Kami sampai di Coles Mart pula pukul 4.50pm! Sempat ke nak beli barang ni? Parking di sini percuma saja. Kami bergegas masuk, dah nampak kosong dan tak ramai pelanggan dah. Kami bertujuan beli nasi dan telur. Syam bersungguh-sungguh nak beli nasi yang sudah siap-siap. Kita kena panaskan saja dalam ketuhar dan nasi siap! Jadi kami beli dua paket nasi segera dan satu kotak telur, ada 6 biji dalamnya. Harga nasi dan telur sekotak masing-masing lebih kurang $3 sahaja.



Masa pusing-pusing cari telur aku ternampak satu air kopi yang ramai orang Malaysia suka beli kalau melancong ke Perth iaitu kopi jenama Dare. Kami masing-masing beli satu dan masa tu ada promosi, jadi harga satu botol cuma $3. Aku dah teliti kandungan air dia macam tak ada apa-apa yang meragukan. Ada lagi dua jenama air yang popular dalam kalangan orang kita iaitu air coklat Chill dan air kopi Barista Bros. Salah satu staff Coles Mart lalu dan beritahu kami yang mereka dah nak tutup kedai.


Coles Mart


bergambar di luar pasar Coles




Habis saja berbelanja, kami terus pulang ke apartment dan masak untuk makan malam. Menu kami cuma nasi goreng masak cina, dan telur goreng. Menu orang bujang la katakan. Nasi segera tu walaupun letak dalam ketuhar dan siap dalam 3 minit sahaja, tapi rasanya kering betul. Lebih baik kalau tadi beli yang kena masak sendiri. Tapi dah beli, jadi kena habiskan juga. Kami habis makan malam lebih kurang pukul 6.30pm. Awalkan kami makan malam? Habis makan kami uruskan diri dan melayan social media. Ujet dan Sazlee rajin buat panggilan kepada orang tersayang.

Kopi Dare. Sedap! Rasa macam coklat kopiko sikit.


Makanan dari Malaysia

samak dulu alat perkakas masak

Sabun taharah


makan malam ringkas kami






Aku pula tengah membelek foto dalam DSLR dan padam foto yang tak cantik sebab nak jimat ruang data memori. Sazlee mengadu yang dia tak kenyang makan nasi goreng tadi. Syam cuba cari makanan halal yang dicadangkan oleh orang ramai dalam Group Backpackers dalam Facebook lalu terjumpa Ispa Kebab. Waktu jualan buka sehingga malam. Jadi kami semua bercadang pergi beli Ispa kebab memandangkan jaraknya tak jauh sangat pun dari apartment kami, tapi masih perlu menaiki kereta. Masih awal lagi nak pergi ke sana sebab kami bercadang pergi malam sikit. Jadi aku pun baring sajalah atas katil tunggu yang lain-lain habis mandi dan puas buat panggilan.



Aku terlelap pula. Bangun-bangun saja aku tengok bilik dah gelap gelita. Aku ingatkan diorang pergi makan Ispa Kebab tanpa aku. Tapi aku perasan Syam pun dah tidur. Kemudian aku pergi ke ruang tamu, nampaklah Sazlee dan Ujet pun dah terlena. Aku tak tahu sama ada nak kejutkan diorang ni pergi makan luar atau sambung tidur. Akhirnya aku ambil keputusan sambung tidur walaupun bila perhatikan jam baru tunjuk waktu 9.30pm. Semua dah tidur awal sebab terlampau penat. Itu sahaja perjalanan kami di Perth pada hari pertama, uhuhuh…





.

.

.

.

.

. bersambung pada post seterusnya.

Terima kasih kerana sudi baca, assalam

2 comments:

  1. Wah..bestnya...teringin nak travel luar negara....👍👍😄😄

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen~~~